<
   

<< October 2009 >>
Sun Mon Tue Wed Thu Fri Sat
 01 02 03
04 05 06 07 08 09 10
11 12 13 14 15 16 17
18 19 20 21 22 23 24
25 26 27 28 29 30 31





If you want to be updated on this weblog Enter your email here:


rss feed

Tuesday, September 21, 2004
Ke mana dia (2)


Hari ke 4....
     
        Tiba-tiba Azi sampai di rumah Pak Ngah. Keadaannya sudah berubah. Semua orang melihat perubahan dengan hairan. Kalau sebelum ini Azi agak pendiam, mengelak ketika ditanya, kini responnya agak spontan. Masing-masing tak dapat menelah apakah hikmah di sebalik kehilangan Azi.

       Menurut Azi, malam isra' Mikraj itu dia turun ke bilik air membuang air dan mengambil wudhu'. Tetapi sekembalinya Azi ke rumah, di lihatnya rumah Pak Ngah kosong, bertutup dan tak berorang. Tiba-tiba ada orang mengejarnya.... dia berlari sekuat-kuatnya... Sehingga tiba-tiba dia hilang arah dan tak jumpa jalan pulang.

       Mujur ada seorang tua menemankannya. Selama tiga hari tiga malam Azi tidak lapar dan mengantuk. Dia berniat puasa, membaca surah yassin dan doa Haikal sepanjang masa. Tidak juga terasa untuk membuang air kecil atau besar...

       Hingga tiba-tiba dia merasa lapar. Sekonyong-konyong dia nampak kelibat rumah jiran yang agak rapat dengan keluarga Pak Ngah. Azi mendekati perlahan-lahan, terasa malu. Namun hatinya terdesak dan terdorong untuk menegur Mak cik Som jirannya itu. 
"Mak cik Som, boleh saya tumpang basuh muka dan buang air".
Tersentak makcik Som pagi itu. Di renung wajah di hadapannya. Bukankah ini Azi yang di cari pakngah dan orang kampung sepanjang tiga hari tiga malam ini?
Di tilik lagi raut wajah, susuk tubuh itu untuk kepastian. Agak segar, selamba dan berpakaian seperti biasa. Tiada calar atau koyak rabak. Semuanya serba sempurna... alhamdulillah. Makcik Som memeluk Azi erat dengan genangan air mata, puas ibu bapamu mencarimu nak!

      Selesai Azi menyempurnakan keperluannya di bilik air, Azi dihantar terus ke rumah Pak Ngah. Mak Ngah, Pak Ngah dan seisi rumah menyambutnya dengan linangan air mata kesyukuran.
Mak Usu dan Kak Ani membuat keputusan membuat kenduri kesyukuran dan doa selamat malam itu bagi menyambut kepulangan Azi.

       Sebelum itu Azi dibawa ke Klinik berdekatan, Dr. di situ mengesahkan Azi dalam keadaan mental dan fizikal yang stabil.

       Malam kenduri itu Azi nampaknya begitu sebok di dapur. Tak menang tangan menceduk lauk, menghidang dan membasuh pinggan. Bila dipanggil Azi memberi respon dan bila diajak berbual, Azi mengikut rentak perbualan dengan lancar. Semuanya berjalan lancar malam itu. Setelah perbincangan keluarga dibuat, Azi akan mengikut kak Ani pulang ke Terengganu lusa. Kebetulan pula Kak Ani seorang jururawat yang akan berhubung debgan Psikiatris di sana.

       Syukurlah Azi telah pulang.
        Cuma,
        beberapa persoalan masih tidak terjawap.....dengan pasti
        Ke manakah Azi sepanjang kehilangannya.
        Apakah benar seperti apa yang didakwanya..
        Adakah benar Azi hadir dalam dunia misteri
        atau....
        mungkinkah sebenarnya Azi hanya masih tenggelam dalam dunia hallusinasi yang tak bertepian..

Walluhualam.







Posted at 10:14 pm by Ddino
Comments (2)  

Sunday, September 19, 2004
Kemana dia ?


         Se isi rumah Pak ngah gempar... Azi anak dara bungsu mereka hilang tiba-tiba. Perkara ini disedari mereka ketika menghadapi hidangan makan malam. Baru sebentar tadi Azi kebilik air di luar rumah tu selepas selesai solat maghrib. Selepas itu dia tak muncul semula. Zam, abangnya yang kebetulan baru sampai menghantar belanja dapur bulan ini, bertindak mencari. Memeranjatkan, Azi tiada di bilik air maupun di sekitar luar rumah. Yang tinggal hanya selipar jepun yang masih basah teletak elok di anak tangga. Tapi Azi mana?

         Mata mak ngah sudah mula basah. Juga mata pak ngah sudah merah. Hingar suara 2 anak Abang Zam sudah tidak di hiraukan. Yati isteri abg Zam terkedu.

         Azi tidak menunjukkan sebarang tanda mencurigakan tadi. Dia memakai pakaian basahan rumah. Hari ini dia melaui rutin seharian seperti selalu. Bila petang tiba dia mandi. Kemudian solat maghrib bila azan berkumandang. Bila ke bilik Azi, tiada apa yang hilang, baju, beg tidak terusik. Apa maknanya ini?

         Menurut Pak ngah sebulan kebelakangan ini, Azi kurang berselera. Bila tengahari ketika pelajar balik sekolah, Azi gemar duduk di pangkin depan memerhatikan mereka. Azi kurang bercampur dan tak ada teman rapat atau teman lelaki. Bila di rumah Azi menolong mak ngah mengemas, masak dan membasuh. Sesekali Azi membeli barang keperluan di kedai berdekatan. Petang itu dia menghalau burung yang sesat masuk ke dalam rumah. Pak ngah dan mak ngah langsung tidak dapat mentelah kehilangan ini..

         Abang Zam telefon kak Yah di Pontian, Kak Ani di Terengganu. Berita kehilangan Azi disampaikan pada Mak Usu, jiran, orang kampung, ketua kampung. Semua sepakat mencari Azi malam itu, tapi tiada kesan yang pasti. Di kebun, hutan, parit semuanya sudah dijejaki tapi masih gagal.Bomoh juga tak ketinggalan menyumbangkan tenaga. Diagnosanya disorok bunian.

         Sampai esoknya keluarga Pak ngah sepakat melaporkan pada pihak polis. Gambar Azi bertudung dan tidak bertudung disuakan. Tapi jawapan selamba amat meragukan. "Ini bukan kes colek, cuba usaha cari kat kampung bunian tu..." Begini ke jawapan Polis?

         Malam kedua, ketiga usaha orang kampung masih diteruskan. Nasib baik masyarakat kampung ini masih padu dengan semangat kejiranan.. senang sama di jinjing, berat sama di pikul. Kalau di bandar tak taulah apa yang jadi.

          Kesian Pak ngah, sudah jatuh ditimpa tangga. Hidup miskin, tak berdaya pula dengan anggota kiri yang lumpuh. Kata Pak ngah, kalau dia masih terdaya tentulah dia tak duduk diam saat ini. Cuma kini mengharap simpati orang mencari Azi.

          Azi gadis berusia 25 tahun, sebelum ini adalah bekas pelajar IPTA jurusan komputer. Selepas latihan praktikal, Azi menunjukkan perubahan yang agak ketara. Bersendirian dan tidak dapat mengikuti pelajaran dengan betul. Kekadang termenung, bercakap dengan perkataan yang tidak difahami dan ketawa sendiri. Psikiatrist mendiagnoskannya sebagai pengidap Schizophrenia, tapi sayang Azi tidak mematuhi ubatan yang diberi. Ketika peluang diberikan untuk kali terakhir menyambung pelajaran, Azi gagal hadir dan kecundang. Pernah bekerja sebagai Cashier di pusat membeli-belah, tapi dia gagal berfungsi. Berjaya kerja 2 hari saja.

         Apakah maksud di sebalik kehilangan Azi kali ini? Hilang akal untuk pulang ke rumah? Relapse Schizo? Lari mengikut teman lelaki? Di rentap lelaki jahanam dan diperkosa? Dicuri bunian ? Semuanya jadi tanda tanya. Cuma doa dan sembahyang hajat dapat menenangkan hati mak ngah. Jauh di sudut kebimbangan itu terselit harapan mak ngah semuga dia pulang dengan keadaan sempurna.  Tapi bilakah ini dapat di pastikan? Masih infiniti....        



Posted at 01:58 am by Ddino
Comments (2)  

Friday, September 03, 2004
Puisi buat Azira Nazira

Bayi sekecilmu
sewaktu baru mengenalmu
dalam balang incubator
seberat 0.84kg
terhasil dari emergency Caeserian
akibat toxicity preeclampsia

tak terluang
masa senggang di alam rahim
hanya 29 minggu
berkongsi darah dengan bondamu

memuncak
gunung harapan ayahbonda
menyambut putri sulung
ditika usia bonda 35 tahun
ayah pula mencecah 40an

terkasima,
tak terduga harapan
yang ada mungkin infiniti.....

Perjuanganmu,
bagai perwira ditengah medan
mengharung komplikasi,
RDS, PDA, sepsis..
CPAP, ventilation silih berganti
survanta, antibiotics, aminophyline
kau redah semuanya...

diusia 54 hari,
bait senyum terukir jua
tak sabar bondamu mendakap
tersua aroma kasih bonda
tak terurai dengan kata-kata
ketika keluar dari balang incubator
tecapai jua 1.5kg

Terasa puas
menitip hari-hari lalu
berjuang bersamamu
mencari harga nyawa
untuk dihadiahkan
pada ayah dan bondamu

Kini kau masih disini
mencari kalori
untuk mencapai
berat 1.7kg
sebelum pulang keistana ayahbonda

AZIRA NAZIRA
kau permata
ayah bondamu
dari kejauhan kudoakan
moga hadirmu
membawa sinar
kedua mereka
sampai akhirat sana.....












Posted at 03:33 pm by Ddino
Comments (2)  

Thursday, August 12, 2004
Kanak-kanak sihat...

Bertambah sibuk nampaknya perjalanan di sini. Dari 5 MO, kini seorang baru melahirkan bayi dan seorang pula "threatened abortion". Jadi tinggal kami bertiga, oncall 1 dalam tiga hari dan kekadang terpaksa berselangan hari pula. Penat semalam belum hilang sudah tiba hari baru untuk bertarung semula. Bertalu-talu pula sesi teleconferense yang memerlukan persediaan yang cukup. Lalu datang pula surat pensyarah akan datang melawat kami dan masa yang sama pemilihan tajuk thesis dan proposal.... Huaaa.

Balik rumah pula, melihat mata anak-anak yang rindukan perhatian. Homework, exam mereka dan yang kecil tu.. mengekori ke mana pergi, minta dukung pulak tu. Teringat pula ibubapa sendiri dan ibubapa mertua yang lama tak ku ziarahi dek kesibukan hujung minggu yang penuh terisi... 

Dalam bebanyak kes ada satu yang nak ku ceritakan di sini.

Seorang kanak-kanak 6 tahun lelaki melayu masuk ke ward jam 6.30 pagi. Keluhannya tidak dapat tidur selama 2 hari (yang tentunya menyebabkan ibubapanya juga tak tidur). Rupa-rupanya perkara ini bukan baru tetapi sudah agak kronik sejak berusia 3 tahun. Berdengkur, susah bernafas menyebabkan tidurnya terganggu. Ibunya telah membawa ke berbagai tempat tapi tiada perubahan nampaknya. Sehinggakan ibunya menggunakan ubat batuk yang dibeli sendiri untuk menyenyakkan tidur putera kesayangan... Kesihan. Keci-kecil sudah hilang nikmat tidur. Menurut ibunya siang, no problem aktif dan lasak. Selera makan pula kus semangat , menyebabkan berat badan bertambah.

Bila pemerksaan dijalankan, memang kanak-kanak ini termasuk dalam golongan obese. Beratnya mencapai 36 kg. Belas aku melihat dia disubuh hening begitu masih tergapai-gapai mencari tidur yang lena. Mengantuk sungguh dia, bila kupanggil tak mampu membuka mata. Dia terpaksa tidur duduk kerana tidak bisa tidur dalam keadaan terlentang. Baru saja nak terlena , terjaga semula disebabkan dengkuran kuat dan kesempitan pernafasan, dan menangis tidak dapat melegakannya.

Pemeriksaan tekak menunjukkan tiada pembesaran tonsil. Tetapi lehernya secara relatif agak pendek menyebabkan penyempitan ruang pernafasan. Rongga hidung sebelah kirinya agak sempit disebabkan hypertrophic turbinate, melengkapkan pakage masalahan pernafasan ketika tidur. Bagi orang normal, bila mengalami penyempitan hidung , automatik menggunakan mulut untuk menukar udara, tapi baginya.. seksa.

"Obstructive Sleep Apneoa" itulah diagnosis untuk kanak-kanak ini. Dia kurujukkan ke ENT untuk pemeriksaan lanjut dan plan untuk pembedahan "Adenotonsillectomy" tak berapa lama lagi. Tapi masalah yang perlu kami ambil perhatian ialah obesity. Kanak-kanak ini perlu mendapat berat badan ideal untuk mengelakkan berbagai komplikasi kegemukan...




Posted at 11:04 pm by Ddino
Make a comment  

Monday, August 09, 2004
sekian lama

Memang sebenarnya aku merindui untuk selalu menjengah ke sini, apatah lagi membentuk tinta menyusun ayat. Tapi ada halangan sedikit. baru-baru ini mataku agak tak tahan dengan cahaya, jadi mungkin sedikit waktu lagi.. ia akan kembali hidup. Berwarna seperti hidup dan kehidupan ini..

Posted at 10:06 pm by Ddino
Make a comment  

Saturday, July 17, 2004
Dunia paediatrik pula

Kembali semula ke Batu Pahat..

Emm... sudah agak lama aku tak melalui active "on-call". Meredah keheningan malam bersama pesakit ketika orang lain lena dibuai mimpi syurga..Kini aku kembali ke dunia Paediatrik.

Sememangnya dunia bayi dan kanak-kanak telah menjadi gelanggang kehidupan ku beberapa tahun terkebelakang. Jika di hospital aku bermain dengan nyawa, penyakit dan masa depan kanak-kanak, di rumah pula jerit-pekik, hilai-tangis anak-anak sendiri menjadi pentas hiburanku. Kepuasan dapat ku rasakan bila ibu membawa pulang bayi sihat kemerahan, lahap menghisap susu, tangan-kaki tergetik-getik bergerak aktif dan mata bersinar melihat sana-sini. Begitu jua melihat kanak-kanak kembali senyum ceria, berlari, dapat kembali bersama rakan sekolah setelah pulih dari sakit yang memungkinkan mereka di rawat di hospital.

Jesteru selalu aku memanjatkan doa agar aku sentiasa ikhlas merawat mereka walau keletihan, mabuk mengandung, mengantuk atau sebagainya. Kerana aku tahu perasaan seorang ibu atau bapa pada setiap anak yang lahir, pastinya terselit harapan yang menggunung tinggi agar anak mereka sihat dan cerdik seperti orang lain. Sesungguhnya itu adalah fitrah yang tidak boleh aku ketepikan.

Bagiku, setiap mereka adalah penting, tiada terdahulu dan tiada yang terkemudian.Suatu hari nanti ketika kita semua tak lagi berdaya merekalah bakal menjadi pemimpin; diri mereka, keluarga negara dan merekalah bakal membela Islam yang semakin tercemar....

Ada senikata lagu Sudirman yang aku 'lupa-lupa ingat' lebihkurang;
              
               Biar  pun apapun rupamu,
               Biar apa pun bangsamu,
               Walau apa pun warnamu,
               kau adalah harapan dunia di hari hadapan....

Sama seperti perasaan seorang ibu atau bapa bila menyerahkan anaknya kepada seorang guru, mengharap guru itu mendidik anaknya dengan kaedah yang terbaik agar menjadi yang terbaik. Begitu juga aku memikul amanah untuk melakukan yang terbaik semasa merawat pesakitku supaya anak mereka sihat seperti biasa tiada komplikasi dari penyakit yang menyebabkan kualiti hidup mereka menurun atau keluarga mereka mendapat impact dari penyakit mereka itu.Itulah harapan ku sebagai perawat dan cuma Dialah sahaja penilai terbaik dan jawaban bagi setiap keringat itu.

On-call pertama setelah sekian lama berehat. Oncall bermakna kerja 24 jam merawat pesakit, menerima pesakit baru, review pesakit tenat merangkumi wad-wad bayi dan kanak-kanak, labour room, ICU, bilik bedah dan unit kecemasan bila-bila masa diperlukan. Ditambah pula kerja keesokan harinya bila di jumlahkan lebihkurang 32 jam.

Ringg... jam 3 pagi aku menerima satu panggilan. Hallo Dr, saya stafnurse S dari SCN. Kita baru menerima satu kes baru lahir jam 2.45 pagi, meconium stained, keadaan tidak memuaskan. Sila datang segera.

Bergegas aku ke SCN, kerana"Meconium stained" atau tertelan najis di dalam perut amat memerlukan rawatan segera untuk mengelak komplikasi kematian, kegagalan sistem badan dan pernafasan, pneumothorax atau kerosakan otak.

Kadar pernafasan bayi agak cepat 68-76 seminit, Oksimeter 78-84%, denyutan 130 perminit dan tekanan MAP 48mmHg. Bantuan oksigen tinggi, kemudian CPAP hingga ke 80% tidak dapat membantu oksigenasi yang cukup untuk bayi. Keadaan bayi tetap sama, pemonitoran oksigen agak tidak memuaskan. Aku dilanda kebimbangan kerana ini bermakna bayi memerlukan bantuan mesin pernafasan (ventilator). Terlambat sedikit bayi mungkin mendapat komplikasi. Sedangkan ventilator yang ada, occupied dengan bayi lain yang juga memerlukannya.

Aku bertindak menelefon hospital terdekat, tetapi mereka juga mengalami masalah yang serupa, ventilator dipenuhi. Cubaan kedua ialah merujuk pada hospital lain untuk keperluan yang serupa jika masih tidak mendapat tempat akan ku usahakan hospital yang lain pula. Alhamdulillah cubaan kedua berjaya, HSAJB sedia menerima kes ini untuk meneruskan rawatan dan bantuan ventilator.

Aku bertemu dengan bapa pesakit, memberikan penerangan tentang keadaan bayi yang tenat, memerlukan rawatan intensif dan akan dirujuk ke HSAJB. Merenung wajahnya yang resah, aku dapat menduga kebimbangan di hatinya. Semestinya sejuta harapan terpancar dengan kelahiran bayi ini, apatah lagi bayi pertama untuk seorang ibu berusia 35 tahun. Sabarlah wahai bapa, aku juga sedang usahakan yang terbaik untuk bayimu. Sempat kubisikkan; jangan putus berdoa dan yakin lah kerana DIA Maha Tahu apa yang terbaik.

Setelah bayi itu di "tube" ia mendapat bantuan pernafasan oksigen dengan "hand bagging". Tentunya dalam perjalanan, bayi ini perlukan handbagging yang berterusan. Bermakna Dr perlu mengiringi pesakit hingga sampai ke destinasi. Tentu saja akulah Dr yang bertanggungjawab mengiringinya hingga sampai ke NICU HSAJB. Beginilah hospital tanpa houseman, pergi dan mencari pengganti Dr yang akan cover ward sepanjang peninggalan aku ke sana.
Setelah selesai semuanya, bertolaklah aku dengan seorang stafnurse, attendan, driver bersamasama bayi yang ingin diselamatkan jiwa raga itu. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan 1 1/2 jam itu tak banyak masalah yang timbul. Keadaan bayi terkawal dan kereta awam berkerjasama memberikan laluan kepada ambulan kami. 

Setibanya kami di NICU, Dr serta staffnya dan ventilator yang diperlukan telah bersedia menunggu. Setelah pass over apa yang perlu, kami pun berangkat pulang.. Sempat aku menjeling pada bayi itu yang telah disambung pernafasannya dengan ventilator. Selamat berjuang bayi, aku doakan kau selamat dan dapat meneruskan hidup yang penuh dengan warna.. Semuga Allah bersamamu.


  AMIN.


Tiba semula ke BPH 11pg.







Posted at 11:37 pm by Ddino
Comments (1)  

Tuesday, July 13, 2004
Iklan



    Seminar Keutuhan Institusi Keluarga.

    Tempat : Dewan Kuliah 1 dan 2
                  Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO)
   
    Anjuran : Pusat Islam KUiTTHO
                   dan
                  Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia

    Tarikh   : 31 Julai 2004.Sabtu.

    Penceramah :
              
                 1. Mohamad Syafiai Uda Jaafar (Pak Uteh)
                     Pakar Motivasi Keluarga
                     Master Science in Development Training and Education.
                     University of Wolverhampton.

                 2. Dr Harlina Halizah Hj Siraj
                     Pensyarah dan Pakar Obstetriks dan Ginekologi
                     Jabatan O & G, Fakulti Perubatan UKM.
  
   Siapa yang patut hadir:
       
                 1. Ibubapa
                 2. Remaja.

   Hubungi :
             
                 1. 013-7748669 (Amin)
                 2. 013-7858290 (Zainudin)
                 3. 012-7065125 (Sadiah)




Posted at 08:43 pm by Ddino
Make a comment  

Monday, July 05, 2004
sahabat 1 bersambung..

Suamiku mencadangkan kepadaku untuk menziarahinya sekeluarga sebaik saja kami pulang dari bekerja petang itu. Tapi setibanya kami di halaman rumahnya, amat sunyi sepi, mendapati mereka sekeluarga tidak ada di situ. Setibanya kami di rumah deringan telefon menyambut kepulangan kami. Sesuatu yang amat memeranjatkan.... isterinya telah dimasukkan ke wad di hospital dan dia telah di tahan polis. Tapi kenapa??!...

Rupanya tengahari itu, dia tiba-tiba bertindak aggrassive, tidak semena-mena menyerang isterinya, lalu mendapat cedera diperut. Anak sulungnya perempuan melarikan diri mendapatkan pertolongan dari jiran sebelah berbangsa Cina, Mereka bertindak pantas, memanggil polis dan ambulan. Isterinya terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan itu. Dan tentunya dia di tahan untuk penyiasatan.

Kami bergegas ke hospital, menziarahi isterinya yang sudah agak stabil selamat di bedah. Amat terharu mengenangkan saat itu, isterinya agak kebingungan sedikit. Hendak meratap, marah, sedih atau apa? Kami cuba menyelami apa yang telah berlaku... Rupanya perubahan ini telah diperhatikan oleh isterinya ketika di Mekah, setelah dia mendapat demam yang agak tinggi hingga keketaran. Bila demamnya pulih, dia gemar menyendiri, melamun dan mereka menyedari percakapannya sedikit ganjil. Tapi ianya tidak menganggu perjalanan ibadah mereka di sana hinggalah sekembalinya mereka ke Tanahair. Beberapa hari selepas mereka pulang keadaannya semakin teruk, dihantui berbagai halusinasi pendengaran dan penglihatan, cuba menyendiri untuk menghindari halusinasi yang semakin kuat mrnganggu. Hinggalah pada hari kejadian, dia seperti melihat bayangan itu menganggu isterinya lalu mengejar dan menyerangnya....

Malam itu, di tengah malam hening sekali lagi kami mendapat panggilan yang memeranjatkan. Sahabat ini telah dibawa ke hospital di JB, sedang dalam keadaan yang amat tenat dan keesokan paginya..... kami telah kehilangannya. Dia telah meninggal dunia dan disahkan akibat Meningitis! Terpaku, kami seperti belum dapat menerima kenyataan yang dia pergi secepat itu...Innalillahi wa innalillahirajiun. Di saat anak-anak belum sempat melepaskan kerinduan sepulangan mu dari Mekah. Di saat kau masih diperlukan. Tapi Allah lebih berhak atas segala-galanya, mereka menerimanya dengan tenang dan redha..

Lebih mengharukan lapan bulan selepas pemergianmu, Allah menganugerahkan isterimu dengan zuriatmu, seorang puteri yang saling tak tumpah seperti wajahmu.

Semuga Allah menempatkanmu ditempat orang-orang yang soleh.. Amin!!

 
*Notes : Neiserria Meningitidis boleh menyebabkan Meningitis yang boleh membunuh.


Posted at 07:55 pm by Ddino
Comments (3)  

Sunday, June 27, 2004
Sahabat 1


Pesakit itu datang dengan keluhan gelembung-gelembung kecil dijari tangan dan kakinya tanpa gangguan rasa sakit dan gatal selama beberapa hari. Dia baru pulang dari mengerjakan umrah beberapa minggu lepas dan tidak punya apa-apa sakit lain. Pemeriksaan menunjukkan pesakit begitu stabil, jemarinya menunjukkan beberapa gelembungan sederhana besar, apa yang kami panggil (haemorrhagic bullous eruption) dan sistem organ lain normal.Beberapa diagnosa terlintas di kepala; 1)dishyrosis eczema 2) scabies 3)..... Lalu kami menghantar specimen cecair dari gelembungan yang sebahagiannya pecah. Keputusan menunjukkan organism yang terdapat dalamnya adalah Neisseria Meningitidis!

Agak gempar sedikit ketika itu, beberapa langkah diambil. Pertama penerangan tentang diagnosa penyakit dan akibatnya diberitahu kepada pesakit, kedua memasukkan pesakit keward yang memerlukan isolasi, ketiga memulakan rawatan seterusnya dan keempat memastikan kontak juga mendapat rawatan.

Sekonyong-konyong ingatan ini terbang kepada dia, sahabat yang telah pergi kira-kira 2 tahun yang lepas. Teman kami sekeluarga, agak rapat sejak kami mengenalinya dalam NGO yang kami anggotai. Dia ketua kepada keluarganya, sifatnya amat disenangi sesiapa saja yang mengenalinya. Mudah tersenyum, senang dibawa berbincang, ringan tulang dan amat bertanggungjawab. Kami saling kunjung mengunjung dan kebetulan membeli rumah di taman perumahan yang sama.

Sebelum berangkat ke Mekah, kami sempat mengunjunginya. Kelihatannya dia begitu sihat dan amat gembira. Pemergiannya ke sana bersama isteri dan ibu mertuanya diiringi doa 3 orang anaknya yang ditinggalkan bersama saudaranya, jua doa dari saudara-mara, sahabat handai serta kami sekeluarga. Mungkin keberangkatannya ke sana tidak banyak masalah kerana dia pernah ke sana sebelum ini menunaikan umrah, di tambah dengan kursus haji yang di hadiri sebelum ini.

Kami belum sempat mengunjunginya beberapa hari sekembalinya dia dari menunaikan haji, sehingga pada suatu pagi Jumaat setibanya suamiku di tempat kerjanya diterkam oleh sahabat ini. Seperti biasa bila berjumpa mereka yang pulang dari tanah suci, mereka berdakapan. Suamiku dapat merasakan kelainannya. Sikapnya tidak seperti biasa, seperti dalam ketakutan, di buru ilusi yang tidak keruan. Dengan beria-ia di berpesan supaya menjaga isterinya dan anak-anaknya.
Suamiku merasa amat hairan bila ia menyebut-yebut bahawa isterinya itu sakit sedangkan kelihatannya isterinya itu sihat seperti biasa. Yang kelihatan tidak sihat adalah dia sendiri, berjalan agak tidak stabil dan agak pucat..                       

                                                                 bersambung...........














Posted at 01:46 am by Ddino
Make a comment  

Saturday, June 12, 2004
JPN


Berbaris mendapatkan giliran untuk buat IC baru.
Ddino tiba jam 8.00 am, dapat bil 144. Lama lagi.. menatap nota di tangan, selain sesekali melihat telatah manusia. Sebilangan besar termenung, ada yang menonton tv, berbual dan hanya sebilangan kecil membaca. 

Memang begini adatnya  menunggu ...,

Ddino keluar, melihat-lihat pesekitaran lalu membaca apa-apa yang tertera. Apa yang menariknya salah satu kenyataan dibangunan Gunasama itu.

  Perangkaan menunjukkan hampir 40,000 daripada 54,000 pesakit HIV terdiri dari orang Melayu,
  90% daripadanya terdiri dari orang lelaki,
  yang sedihnya, Johor menyandang juara pesakit HIV tertinggi 14,000, 
  diikuti Selangor seramai 6,000 dan berikutnya NS.
  Kelantan menduduki tempat terakhir.

Apa nak jadi agaknya orang melayu kita  terutama yang lelaki tuh. Kebanyakan mereka ialah penagih dadah .Sudah pastinya kesedaran untuk praktis "safe sex" yang dianjurkan juga tidak dihiraukan. Dan selepas itu merebak pula pada kaum hawa dan seterusnya anak-anaknya pula. Apa kualitinya generasi ini berikutnya?


Pulang jam 11.30 am. Kad akan siap dalam masa 2 bulan....
 

Posted at 12:44 am by Ddino
Comments (1)  

Next Page