Kembali semula ke Batu Pahat..
Emm... sudah agak lama aku tak melalui active "on-call". Meredah keheningan malam bersama pesakit ketika orang lain lena dibuai mimpi syurga..Kini aku kembali ke dunia Paediatrik.
Sememangnya dunia bayi dan kanak-kanak telah menjadi gelanggang kehidupan ku beberapa tahun terkebelakang. Jika di hospital aku bermain dengan nyawa, penyakit dan masa depan kanak-kanak, di rumah pula jerit-pekik, hilai-tangis anak-anak sendiri menjadi pentas hiburanku. Kepuasan dapat ku rasakan bila ibu membawa pulang bayi sihat kemerahan, lahap menghisap susu, tangan-kaki tergetik-getik bergerak aktif dan mata bersinar melihat sana-sini. Begitu jua melihat kanak-kanak kembali senyum ceria, berlari, dapat kembali bersama rakan sekolah setelah pulih dari sakit yang memungkinkan mereka di rawat di hospital.
Jesteru selalu aku memanjatkan doa agar aku sentiasa ikhlas merawat mereka walau keletihan, mabuk mengandung, mengantuk atau sebagainya. Kerana aku tahu perasaan seorang ibu atau bapa pada setiap anak yang lahir, pastinya terselit harapan yang menggunung tinggi agar anak mereka sihat dan cerdik seperti orang lain. Sesungguhnya itu adalah fitrah yang tidak boleh aku ketepikan.
Bagiku, setiap mereka adalah penting, tiada terdahulu dan tiada yang terkemudian.Suatu hari nanti ketika kita semua tak lagi berdaya merekalah bakal menjadi pemimpin; diri mereka, keluarga negara dan merekalah bakal membela Islam yang semakin tercemar....
Ada senikata lagu Sudirman yang aku 'lupa-lupa ingat' lebihkurang;
Biar pun apapun rupamu,
Biar apa pun bangsamu,
Walau apa pun warnamu,
kau adalah harapan dunia di hari hadapan....
Sama seperti perasaan seorang ibu atau bapa bila menyerahkan anaknya kepada seorang guru, mengharap guru itu mendidik anaknya dengan kaedah yang terbaik agar menjadi yang terbaik. Begitu juga aku memikul amanah untuk melakukan yang terbaik semasa merawat pesakitku supaya anak mereka sihat seperti biasa tiada komplikasi dari penyakit yang menyebabkan kualiti hidup mereka menurun atau keluarga mereka mendapat impact dari penyakit mereka itu.Itulah harapan ku sebagai perawat dan cuma Dialah sahaja penilai terbaik dan jawaban bagi setiap keringat itu.
On-call pertama setelah sekian lama berehat. Oncall bermakna kerja 24 jam merawat pesakit, menerima pesakit baru, review pesakit tenat merangkumi wad-wad bayi dan kanak-kanak, labour room, ICU, bilik bedah dan unit kecemasan bila-bila masa diperlukan. Ditambah pula kerja keesokan harinya bila di jumlahkan lebihkurang 32 jam.
Ringg... jam 3 pagi aku menerima satu panggilan. Hallo Dr, saya stafnurse S dari SCN. Kita baru menerima satu kes baru lahir jam 2.45 pagi, meconium stained, keadaan tidak memuaskan. Sila datang segera.
Bergegas aku ke SCN, kerana"Meconium stained" atau tertelan najis di dalam perut amat memerlukan rawatan segera untuk mengelak komplikasi kematian, kegagalan sistem badan dan pernafasan, pneumothorax atau kerosakan otak.
Kadar pernafasan bayi agak cepat 68-76 seminit, Oksimeter 78-84%, denyutan 130 perminit dan tekanan MAP 48mmHg. Bantuan oksigen tinggi, kemudian CPAP hingga ke 80% tidak dapat membantu oksigenasi yang cukup untuk bayi. Keadaan bayi tetap sama, pemonitoran oksigen agak tidak memuaskan. Aku dilanda kebimbangan kerana ini bermakna bayi memerlukan bantuan mesin pernafasan (ventilator). Terlambat sedikit bayi mungkin mendapat komplikasi. Sedangkan ventilator yang ada, occupied dengan bayi lain yang juga memerlukannya.
Aku bertindak menelefon hospital terdekat, tetapi mereka juga mengalami masalah yang serupa, ventilator dipenuhi. Cubaan kedua ialah merujuk pada hospital lain untuk keperluan yang serupa jika masih tidak mendapat tempat akan ku usahakan hospital yang lain pula. Alhamdulillah cubaan kedua berjaya, HSAJB sedia menerima kes ini untuk meneruskan rawatan dan bantuan ventilator.
Aku bertemu dengan bapa pesakit, memberikan penerangan tentang keadaan bayi yang tenat, memerlukan rawatan intensif dan akan dirujuk ke HSAJB. Merenung wajahnya yang resah, aku dapat menduga kebimbangan di hatinya. Semestinya sejuta harapan terpancar dengan kelahiran bayi ini, apatah lagi bayi pertama untuk seorang ibu berusia 35 tahun. Sabarlah wahai bapa, aku juga sedang usahakan yang terbaik untuk bayimu. Sempat kubisikkan; jangan putus berdoa dan yakin lah kerana DIA Maha Tahu apa yang terbaik.
Setelah bayi itu di "tube" ia mendapat bantuan pernafasan oksigen dengan "hand bagging". Tentunya dalam perjalanan, bayi ini perlukan handbagging yang berterusan. Bermakna Dr perlu mengiringi pesakit hingga sampai ke destinasi. Tentu saja akulah Dr yang bertanggungjawab mengiringinya hingga sampai ke NICU HSAJB. Beginilah hospital tanpa houseman, pergi dan mencari pengganti Dr yang akan cover ward sepanjang peninggalan aku ke sana.
Setelah selesai semuanya, bertolaklah aku dengan seorang stafnurse, attendan, driver bersamasama bayi yang ingin diselamatkan jiwa raga itu. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan 1 1/2 jam itu tak banyak masalah yang timbul. Keadaan bayi terkawal dan kereta awam berkerjasama memberikan laluan kepada ambulan kami.
Setibanya kami di NICU, Dr serta staffnya dan ventilator yang diperlukan telah bersedia menunggu. Setelah pass over apa yang perlu, kami pun berangkat pulang.. Sempat aku menjeling pada bayi itu yang telah disambung pernafasannya dengan ventilator. Selamat berjuang bayi, aku doakan kau selamat dan dapat meneruskan hidup yang penuh dengan warna.. Semuga Allah bersamamu.
AMIN.
Tiba semula ke BPH 11pg.