Pesakit itu datang dengan keluhan gelembung-gelembung kecil dijari tangan dan kakinya tanpa gangguan rasa sakit dan gatal selama beberapa hari. Dia baru pulang dari mengerjakan umrah beberapa minggu lepas dan tidak punya apa-apa sakit lain. Pemeriksaan menunjukkan pesakit begitu stabil, jemarinya menunjukkan beberapa gelembungan sederhana besar, apa yang kami panggil (haemorrhagic bullous eruption) dan sistem organ lain normal.Beberapa diagnosa terlintas di kepala; 1)dishyrosis eczema 2) scabies 3)..... Lalu kami menghantar specimen cecair dari gelembungan yang sebahagiannya pecah. Keputusan menunjukkan organism yang terdapat dalamnya adalah Neisseria Meningitidis!
Agak gempar sedikit ketika itu, beberapa langkah diambil. Pertama penerangan tentang diagnosa penyakit dan akibatnya diberitahu kepada pesakit, kedua memasukkan pesakit keward yang memerlukan isolasi, ketiga memulakan rawatan seterusnya dan keempat memastikan kontak juga mendapat rawatan.
Sekonyong-konyong ingatan ini terbang kepada dia, sahabat yang telah pergi kira-kira 2 tahun yang lepas. Teman kami sekeluarga, agak rapat sejak kami mengenalinya dalam NGO yang kami anggotai. Dia ketua kepada keluarganya, sifatnya amat disenangi sesiapa saja yang mengenalinya. Mudah tersenyum, senang dibawa berbincang, ringan tulang dan amat bertanggungjawab. Kami saling kunjung mengunjung dan kebetulan membeli rumah di taman perumahan yang sama.
Sebelum berangkat ke Mekah, kami sempat mengunjunginya. Kelihatannya dia begitu sihat dan amat gembira. Pemergiannya ke sana bersama isteri dan ibu mertuanya diiringi doa 3 orang anaknya yang ditinggalkan bersama saudaranya, jua doa dari saudara-mara, sahabat handai serta kami sekeluarga. Mungkin keberangkatannya ke sana tidak banyak masalah kerana dia pernah ke sana sebelum ini menunaikan umrah, di tambah dengan kursus haji yang di hadiri sebelum ini.
Kami belum sempat mengunjunginya beberapa hari sekembalinya dia dari menunaikan haji, sehingga pada suatu pagi Jumaat setibanya suamiku di tempat kerjanya diterkam oleh sahabat ini. Seperti biasa bila berjumpa mereka yang pulang dari tanah suci, mereka berdakapan. Suamiku dapat merasakan kelainannya. Sikapnya tidak seperti biasa, seperti dalam ketakutan, di buru ilusi yang tidak keruan. Dengan beria-ia di berpesan supaya menjaga isterinya dan anak-anaknya.
Suamiku merasa amat hairan bila ia menyebut-yebut bahawa isterinya itu sakit sedangkan kelihatannya isterinya itu sihat seperti biasa. Yang kelihatan tidak sihat adalah dia sendiri, berjalan agak tidak stabil dan agak pucat..
bersambung...........
Posted at 01:46 am by Ddino